Tuesday, January 6, 2009

Dilema Dalam Sains: Logik Ke Tak Logik?


Pasti anda terfikir-fikir, "kenapa asyik cerita pasal sains je? Dia ni anti-sains kot..." Walaupun saya kelihatan seolah-olah ingin membelasah dan menghentam sains, ini bukan bermakna saya anti pada sains. Niat saya cuma satu saja. Saya ingin mengembalikan perspektif yang adil buat sains iaitu membetulkan salah faham ke atas sains. Sains cuma alat saja. Kita sebagai pengguna harus bijak menggunakannya. Namun kebanyakkan orang hari ini mempercayai kesaktian sains melebihi kemukjizatan al-Quran misalnya. Mereka melebih-lebihkan sains dari agama.

Fenomena "gila" sains atau scientisme ini mengingatkan saya tentang satu tulisan menyatakan pendapat yang saya baca di salah satu akhbar Melayu dinegara ini. Tulisan itu dipaparkan dalam ruangan kemusykilan agama. Beliau seperti gaya seorang saintis berpendapat melalui ilmu sains yang dipelajarinya, bahawa azab kubur itu tiada dan tidak wujud! Alasannya senang saja. Bila kita mati, segala sistem tubuh kita juga akan mati dan ini termasuk juga dengan sistem deria rasa. Bila deria rasa tidak ada atau mati, bagaimana seseorang yang sudah mati itu akan merasakan kesakitan? Mengikut perkiraan anda, adakah persoalan yang diutarakan oleh si penulis ini ada logiknya? Dari kacamata sains, ia sungguh logik sekali dan menyangkal kenyataan ini bermakna anda tidak saintifik. Mungkin menurut sains, anda juga mempunyai akal yang pendek atau IQ yang rendah. Jika persoalan ini diperhalusi dari sudut agama Islam, menolak adanya seksaan kubur bererti menafikan kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.w.t yang membawa kepada kekufuran.

Sekarang, adakah anda sudah jelas dengan masalah yang ada pada sains?

Bagi saya sains sebenarnya bukanlah satu alat bagi mengukur kebenaran. Ia adalah satu perbincangan mengenai kaedah mencari rantaian sebab dan punca yang munasabah tentang wujudnya atau berlakunya sesuatu itu. Sains digunakan bagi mengkaji sebab dan akibat dari pandangan logik akal menerusi bukti-bukti yang jelas dan kuat. Pendek kata, ada pendapat, ada bukti, maka ia benar. Ada pendapat, tiada bukti, maka ia MASIH palsu.

Sekali lagi, jangan menggunakan sains untuk MENENTUKAN KEBENARAN! Dalam prinsip sains juga ada menekankan tentang prinsip keterbukaan. Disamping sikap keterbukaan, rasa skeptik atau keraguan juga ditekankan oleh sains. Jika kedua-dua prinsip ini digunakan dengan seimbang, masalah yang berlaku dari salah faham sains setidak-tidaknya dapat dikurangkan. Dalam Islam, kita juga diajar agar jangan cepat terpengaruh dengan berita-berita yang disampaikan kepada kita sebelum kita menyelidiki kebenaran berita itu. Sikap skeptik dalam sains sebenarnya bagus agar kajian dijalankan bagi menentukan kebenaran. Namun, kesedaran tentang batasan akal fikir manusia amat penting agar kita tidak memalsukan kebenaran. Contohnya, mengkaji tentang kewujudan Tuhan tanpa menyedari kekurangan akal bagi mencari bukti yang saintifik akan menyebabkan kita merumuskan bahawa Tuhan itu tiada.

Cuba bayangkan jika anda hidup pada kurun ke-18 dan tiba-tiba rakan anda pada masa itu berpendapat bahawa besi yang beratnya bertan-tan mampu terbang diudara untuk mengangkut bahan dagangan. Sebagai manusia yang tidak pernah memikirkan tentang kapal terbang, adakah anda akan membenarkan pendapat rakan anda itu dengan mudah? Sudah tentu tidak. Sebaliknya, anda akan mendapati pendapat rakan anda itu sebagai gila, tidak waras, merapu, TIDAK LOGIK, TIDAK RASIONAL dan mungkin juga TIDAK SAINTIFIK! Mungkin bukan anda seorang saja yang berpendapat sedemikian, malah ahli sains pada kurun tersebut pun mungkin mempunyai pandangan yang sama!

Sekarang, adakah kapal terbang itu tidak wujud? Adakah idea dimana besi yang beratnya bertan-tan mampu terbang diudara itu tidak logik, tidak rasional dan tidak masuk akal?

Sains adalah satu alat yang tidak sempurna. Ia sentiasa berkembang dan berkembang. Apa yang tidak logik dahulunya mungkin logik pada masa akan datang. Adakah patut untuk kita mengadili suatu kebenaran dengan "alat" yang belum sempurna?

Logik tak? <",|

0 comments:

Post a Comment

Followers

 

Strategi Cemerlang. Copyright 2008 Hakcipta Terpelihara